English vs Arab

MENDAULATKAN BAHASA DAULAH
SN Keluaran 16 November 2007


[SN148] Perhimpunan Agung UMNO baru sahaja berakhir dan tahun ini, ia berakhir dengan penuh emosi apabila Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran keras kepada pihak pembangkang agar jangan mencabar beliau dengan (mengadakan) demonstrasi jalanan yang telah dirancang. Namun, pihak pembangkang tetap berdegil dan dilihat menempelak Abdullah dengan tetap mengadakan demonstrasi jalanan yang telah dirancang sekian lama. Demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh gabungan parti-parti pembangkang dan NGO ini untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih nampaknya telah berjaya menggusarkan kerajaan. Walaupun demonstrasi yang agak besar itu dilihat tidak dapat merubah pendirian kerajaan dan undang-undang yang sedia ada (kerana itu bukan agendanya), namun sedikit sebanyak ia telah menyedarkan rakyat bahawa pilihan raya yang dijalankan di bawah undang-undang kufur warisan British ini tidak akan pernah bersih dan adil. Dan sesungguhnya inilah hakikat undang-undang kufur – selama mana umat Islam diperintah oleh undang-undang ciptaan tangan-tangan manusia, keadilan dan kerahmatan tidak akan pernah dapat dicapai atau dinikmati. Keadilan yang hakiki hanya akan dapat dikecapi apabila pemerintahan dan undang-undang yang diterapkan adalah berasal dari Allah dan RasulNya, yang mana sistem dan undang-undangnya datang dari Kitabullah dan Sunnah RasulNya serta berpandukan pemerintahan para Khulafa’ Rasyidin. Inilah sistem Islam yang hakiki di mana undang-undang Islam adalah dicipta oleh Allah, bukannya oleh manusia sebagaimana dalam sistem demokrasi yang ada sekarang.

Selain itu, perhimpunan UMNO kali ini juga dilihat penuh kontroversi apabila ada cadangan dan desakan terhadap kerajaan (yang dipimpin oleh UMNO sendiri) untuk mengembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik ke dalam Bahasa Melayu. Jika dahulu, apabila bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Muhammad menetapkan pengajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris, maka semua ‘orang-orang bawahan’ hanya tutup mulut dan pejam mata serta terpaksa meng‘amin’kan keputusan ini, dan seperti biasa, kaki-kaki ampu malah memuji melangit akan tindakan ini. Lebih dramatik, mereka sanggup berperang mulut marahkan semua pihak, khususnya pembangkang apabila tidak bersetuju dengan ‘keputusan hebat’ ini. Setelah era Mahathir berlalu, maka tidak ada apa lagi yang perlu ditakuti atau dirisaukan, lalu suara-suara hati yang sudah lama terbuku dimuntahkan habis-habisan. Walaubagaimanapun, apa yang kita saksikan ini bukanlah suatu kejutan mahupun sesuatu yang baru dalam politik tanah air. Mungkin selepas ini jika orang lain pula yang menjadi Presiden UMNO atau Perdana Menteri dan dia mencadangkan agar pengajaran Sains dan Matematik dikekalkan dalam bahasa Inggeris selama-lamanya, maka orang bawahan akan menyokong dan melontarkan pujian ‘mengangkasa’ dan melangit sekali lagi.

Gesaan untuk mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu telah dibangkitkan oleh wakil Badan Perhubungan UMNO Johor, Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menjelaskan bahawa langkah ini adalah selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Negara yang turut diperjuangkan oleh UMNO bagi memartabatkan bahasa tersebut ketika parti masih lagi `bayi’. Beliau seterusnya menegaskan, hanya orang Melayu yang mudah lupa sahaja yang tidak mengambil peduli untuk mengembalikan semula pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu. Beliau turut membidas tindakan kerajaan menukar penggunaan bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia sesuka hati apatah lagi alasannya ialah supaya diterima semua bangsa dan menjadi alat perpaduan [UM 08/11/07].

Menantu Presiden UMNO yang juga Naib Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin turut mendesak agar dirombak kurikulum pendidikan dan mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Malaysia. Itulah desakan Pergerakan Pemuda UMNO kepada Kementerian Pelajaran ekoran penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran penting itu sekarang tidak membawa kesan, sebaliknya ia menjadi “tembok penghalang kepada pelajar untuk memahami ilmu yang ingin disampaikan”, tegas Khairy [UM 08/11/07] yang dilihat membidas ketuanya sendiri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan juga Menteri Pelajaran. Di dalam responsnya, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memperhalus cadangan supaya pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dikembalikan ke bahasa Melayu. Hishammuddin pula berkata, kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan diumumkan hujung tahun depan dan bukannya pada tahun 2010. Keputusan itu dibuat setelah beliau “berbincang dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri”, katanya [UM 10/11/07].

Sekilas Fakta

Sekiranya kita ke luar negara seperti Eropah, ke negara-negara Jerman, Perancis, Sepanyol atau Itali, rata-rata mereka boleh berbahasa Inggeris, tetapi mereka tidak menjadikan pengajaran sains dan matematik di negara mereka di dalam bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan. Keadaan yang sama sekiranya kita melawat Jepun atau Korea. Mereka ini langsung tidak mengagungkan bahasa Inggeris sebagaimana yang terjadi di negara ini. Pemimpin Malaysia pernah berdalih bahawa rakyat perlu belajar bahasa Inggeris untuk membolehkan mereka bersaing atau mencapai kemajuan, walhal hakikatnya banyak negara di dunia ini telah pun mencapai kemajuan tanpa mengguna atau mendewa-dewakan bahasa penjajah ini. Hatta ahli akademik mereka sekalipun, seperti profesor-profesor dari Jepun dan Korea yang memberi syarahan dalam bahasa Inggeris, kita akan dapati bahawa bahasa Inggeris seorang pelajar sekolah menengah di Malaysia lebih baik dari bahasa Inggeris profesor-profesor ini. Justeru, mengaitkan bahasa Inggeris dengan kemajuan adalah merupakan suatu perkara yang amat dangkal.

Bahasa Inggeris hanyalah bahasa, dan bukannya satu cabang dari ilmu Sains dan Matematik. Maksudnya bahasa Inggeris langsung bukan merupakan bahasa yang ‘perlu’ untuk memahami Sains dan Matematik, apatah lagi sebagai bahasa untuk mencapai kemajuan. Contohnya, sekiranya seseorang ingin belajar membina atau mencipta kapal terbang, roket, kereta, motosikal, komputer dan sebagainya, mereka sama sekali tidak perlu memahami bahasa Inggeris (sebagai pra-syarat) untuk berjaya mencipta kesemua ini. Malah, banyak buku panduan untuk mencipta kapal terbang, roket, kereta, motosikal dan komputer ditulis dalam bahasa Jepun, Rusia, Korea, Jerman, Perancis dan sebagainya dan mereka ini tetap maju. Hakikatnya, bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya bahasa untuk Sains dan Matematik. Bahasa, dalam konteks ini hanyalah ‘container’ (bekas) untuk menyampaikan idea-idea Sains dan Matematik. Mana-mana bahasa pun boleh digunakan sebagai container bagi Sains dan Matematik selama mana idea-idea tersebut dapat difahami sebaik-baiknya oleh orang yang mengkajinya.

Bahasa hanyalah satu medium (perantaraan) untuk memahami ilmu. Sekiranya seorang itu selesa dan lebih memahami untuk belajar ilmu (sama ada sains, Matematik dan sebagainya) dalam bahasa ibundanya dan bukan bahasa Inggeris, maka itulah yang paling baik baginya. Pengajaran Sains dan Matematik di Jepun dan Korea dilakukan dalam bahasa Jepun dan Korea, dan mereka lebih maju dalam Sains dan Matematik berbanding Malaysia di mana pengajaran Sains dan Matematik dilakukan dalam bahasa Inggeris seperti sekarang. Menjadikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak semestinya menjadikan pelajar-pelajar lebih faham tentang Sains dan Matematik, malah mungkin sebaliknya. Dan inilah sebenarnya yang terjadi, khususnya di kalangan pelajar luar bandar (yang teramat lemah dalam bahasa Inggeris) yang merupakan pelajar yang paling tinggi jumlahnya. Dari segi logik sekalipun, sekiranya penguasaan pelajar terhadap bahasa Inggeris adalah rendah, maka adalah amat dangkal untuk mengajarkan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, kerana langkah tersebut hanya menambahkan bebanan pelajar untuk memahami Sains dan Matematik, malah lebih buruk lagi, pemahaman menjadi semakin merosot.

Ketika Dunia Islam menguasai ilmu pengetahuan (ketika Daulah Khilafah masih wujud) dan menjadi pusat peradaban dunia, orang-orang Eropah belajar daripada orang-orang Islam tentang ilmu-ilmu Sains dan Matematik. Mereka belajar bahasa Arab untuk memahami Sains dan Matematik dari orang Islam. Tetapi orang Eropah tidak menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa ibunda mereka. Mereka mengalih bahasakan buku-buku Sains dan Matematik yang ditulis dalam bahasa Arab ke bahasa mereka. Sehingga sekarang beberapa istilah bahasa Arab masih lagi dikekalkan di dalam bahasa mereka seperti cypher (yang berasal dari sifr), sugar (yang berasal dari sukkar), alkali (yang berasal dari al-qali), algebra (yang berasal dari aljabar) dan banyak lagi istilah lainnya. Kesinambungan dari ini, bahasa Arab sebagai bahasa Islam telah berjaya mempelopori lebih kurang 1/3 dunia, dan telah menjadi bahasa elit di peringkat antarabangsa. Tidak dapat dinafikan bahawa Islam dengan kekuatan bahasa Arabnya telah berjaya membina tamadun dunia sehinggalah umat Islam mula melalaikannya.

Bahasa Arab vs Bahasa Inggeris

Kekuatan Islam mula pudar apabila dunia telah melangkah ke abad 18M. Pelbagai faktor, sama ada dari dalam mahupun luar yang telah menyumbang kepada kemunduran yang amat parah ini. Sejak pertengahan abad 12 Hijriah (ke-18M), dunia Islam menggelincir dari masa kejayaannya dengan sangat cepat serta jatuh ke dalam jurang kemunduran dengan amat mengerikan. Sekalipun telah dilakukan berbagai upaya untuk membangkitkannya kembali atau setidaknya mencegah agar ketergelincirannya itu tidak berlanjut terus, akan tetapi tidak satu pun usaha-usaha tersebut membuahkan hasil. Sementara itu dunia Islam masih tetap dalam kebingungan di tengah-tengah kegelapan akibat kekacauan dan kemundurannya, serta masih terus merasakan pedihnya keterbelakangan dan berbagai goncangan ini.

Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani di dalam kitabnya, Mafahim Hizbut Tahrir menukilkan bahawa sebab kemunduran dunia Islam ini boleh dikembalikan kepada satu hal iaitu kelemahan yang teramat parah dalam hal pemahaman umat terhadap Islam, yang merasuk pemikiran kaum Muslimin. Penyebab lemahnya pemahaman ini adalah pemisahan kekuatan yang dimiliki bahasa Arab (thaqah ‘arabiyyah) dengan kekuatan Islam (thaqah Islamiyyah). Hal ini bermula tatkala bahasa Arab mulai diremehkan dalam memahami Islam seawal abad ke-7 Hijriyyah lagi. Selama kekuatan yang dimiliki bahasa Arab tidak disatukan dengan karisma Islam, yakni dengan cara menjadikan bahasa Arab (yang merupakan bahasa Islam) sebagai inti pati yang tidak dapat dipisahkan dari Islam, maka kemunduran itu akan tetap melanda kaum Muslimin. Mengapa demikian? Kerana bahasa Arab merupakan kekuatan yang mengembangkan kekuatan Islam sehingga Islam dan bahasa Arab merupakan satu kesatuan yang tidak dapat dipisahkan. Islam tidak mungkin dapat dilaksanakan secara sempurna kecuali dengan bahasa Arab. Tambahan pula, dengan meremehkan bahasa Arab, ijtihad akan hilang, kerana ijtihad tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali dengan bahasa Arab – sedangkan kedudukan ijtihad itu sendiri adalah amat penting bagi umat Islam, sebab tidak mungkin akan terjadi kemajuan bagi umat tanpa adanya ijtihad.

Memang benar, umat Islam akan terus beku dan jumud dan tidak akan dapat menyelesaikan masalah sesuai dengan perkembangan semasa apabila tidak ada yang boleh berijtihad. Kelemahan inilah yang telah digunakan oleh Barat yang memusuhi Islam. Mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memisahkan bahasa Arab dari kaum Muslimin. Bermula dengan seruan mereka kepada semangat nasionalisme (assobiyyah) dan patriotisme (wathaniyyah) untuk melemahkan Daulah Turki Uthmaniyah, mereka seterusnya membakar semangat bangsa Turki agar cintakan bangsa dan bahasa mereka. Sebab itulah apabila Khilafah dihancurkan dan Turki berjaya disekularkan oleh Mustafa Kamal la’natullah dengan bantuan British, bahasa Arab terus dihapuskan, sehingga azan pun telah ditukar ke bahasa Turki. Apabila British mula menguasai dunia di hujung abad ke-18 dan awal abad ke-19, mereka bukan setakat menjajah umat Islam dari segi fizikal dan mengaut segala kekayaan yang ada di bumi umat Islam, mereka malah mula menjadikan bahasa mereka (bahasa Inggeris) menggantikan bahasa Arab yang selama ini menjadi bahasa antarabangsa. Sekolah-sekolah aliran Inggeris telah didirikan jauh lebih awal dari itu untuk mengajar anak-anak kaum Muslimin dengan tsaqafah (kebudayaan) dan bahasa mereka. Tidak cukup dengan itu, mereka menawarkan biasiswa dan pengajaran percuma kepada anak-anak kaum Muslimin yang bijak-pandai agar belajar di negara mereka. Berapa ramai dari kalangan cerdik-pandai ‘dijemput’ belajar di Barat (Britain khususnya) lalu mereka ini di‘brainwash’ dengan tsaqafah dan undang-undang Barat. Hasilnya, golongan terpelajar mula dirasuk dan terbius dengan tsaqafah dan hadharah Barat dan terus mengabaikan dan memandang remeh akan hukum-hukum Islam.

Ternyata, setelah British berjaya menguasai dunia Islam, diikuti oleh Amerika Syarikat (selepas Perang Dunia II), mereka turut berjaya menanamkan satu perasaan di kalangan kaum Muslimin akan ‘keagungan dan kemuliaan’ apabila mendapat pendidikan dari Barat. Anak-anak kaum Muslimin juga merasa tinggi diri dan ‘dimuliakan’ oleh masyarakat apabila lulus dengan cemerlang dari universiti-universiti di Barat (United Kingdom dan Amerika khususnya). Seterusnya dari aspek bahasa, secara automatik mereka ini apabila pulang ke tanah air terus mendaulatkan bahasa Inggeris yang mereka pelajari di sana. Dengan sistem pendidikan Malaysia yang masih berkiblatkan British (sejak dari sebelum merdeka), akhirnya bahasa penjajah ini dijadikan bahasa kedua negara, malah menjadi bahasa pengantar di beberapa buah sekolah dan institusi pengajian di Malaysia hingga kini. Dahulu, kes mahkamah-mahkamah pun mesti dibicarakan di dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, walaupun hakim dan peguam-peguam yang mengendalikan kes tersebut berbangsa Melayu.

Bukan setakat itu sahaja, malah telah terbentuk satu pandangan umum (public opinion) bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa yang penting, tidak kiralah sama ada untuk dipelajari, untuk mendapat kerja, untuk ‘mengangkasakan’ bangsa, untuk kemajuan negara dan lain-lain lagi. Malah, jika ada pelajar yang tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, pelajar tersebut dianggap lemah dan ‘gelap’ masa depannya. Oleh sebab itulah bahasa Inggeris mendapat ‘layanan istimewa’ dari para pemerintah dan diamalkan sebegitu rupa oleh mereka (dan juga beberapa golongan tertentu) di mana akhirnya bahasa ini telah dijadikan ukuran kualiti dan status sosial seseorang. Bahasa penjajah ini seolah-olah seperti telah menjadi bahasa keramat atau suci di mana seseorang itu akan dihormati dan dianggap tinggi statusnya apabila boleh menguasainya dengan baik. Tidak cukup dengan ini semua, tercipta pula satu keadaan (dalam masyarakat) di mana seseorang Muslim itu akan berasa malu (atau akan dimalukan) apabila beliau bercakap bahasa penjajah ini dengan tidak betul (broken), apatah lagi jika dia bercakap di khalayak ramai. Walhasil pada masa yang sama, Muslim tersebut tidak pernah pula berasa malu (atau dimalukan) sedikit pun jika tidak dapat menyebut perkataan Arab atau tidak dapat bercakap bahasa Arab dengan baik. Inilah di antara kejayaan kafir Barat di dalam mendaulatkan bahasa mereka ke atas umat Islam. Mereka bukan sekadar berjaya menjajah umat Islam dari segi fizikal dan pemikiran, malah dari segi bahasa pun mereka berjaya menukar kiblat umat Islam kepada mereka.

Bahasa Arab Adalah Bahasa Daulah

Oleh sebab masalah bahasa ini tidak dapat dipisahkan dari soal agama dan pemerintahan, maka sebagai seorang Muslim, kita perlu meneliti nas-nas tentang penggunaan ‘bahasa’ agar kita tidak terus terjerumus mengagungkan bahasa penjajah atau bahasa ibunda masing-masing. Kedudukan bahasa di dalam sistem pemerintahan perlu diperhalusi betul-betul agar pemerintahan yang berjalan mestilah selari dengan thariqah (jalan) yang telah diambil oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para Khulafa’ Rasyidin. Hizbut Tahrir di dalam kitabnya, Muqaddimah ad-Dustur (Pengenalan Kepada Perlembagaan Islam) telah membincangkan secara panjang lebar kedudukan bahasa Arab di dalam sesebuah Negara Islam. Fasal 8 di dalam kitab tersebut memperuntukkan bahawa “Bahasa Arab adalah bahasa Islam dan merupakan satu-satunya bahasa rasmi yang digunakan oleh Daulah Islam.” Berikut ini dihuraikan secara ringkas kupasan yang terdapat di dalam kitab tersebut.

Terdapat banyak ayat yang menerangkan bahawa Al-Quran adalah sebuah kitab yang berbahasa Arab yang tiada sedikit pun kecacatannya. Bahasa Arab merupakan bahasa Islam, bahasa Al-Quran dan bahasa yang mengandungi mukjizat. Adapun tentang dalil bahawa bahasa Arab mesti dijadikan bahasa rasmi Daulah adalah berdasarkan perbuatan Nabi itu sendiri. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menghantar surat kepada Kaisar, Kisra dan Muqauqas (semuanya bangsa non-Arab) untuk mengajak mereka memeluk Islam dan surat-surat ini semuanya ditulis di dalam bahasa Arab, walaupun surat-surat itu sebenarnya boleh ditulis di dalam bahasa mereka. Hal ini menjadi dalil kepada kita bahawa Rasulullah (sebagai Ketua Negara) telah menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi untuk mengutus surat, apatah lagi di dalam kes ini, untuk mengajak mereka memeluk Islam, yang secara logiknya lebih baik menggunakan bahasa mereka. Jadi, ketetapan yang dilakukan oleh Rasulullah ini (walau surat untuk mengajak memeluk Islam sekalipun ditulis di dalam bahasa Arab) dengan sendirinya telah menjadi qarinah (indication/penunjukan) bahawa orang bukan Arab mesti belajar bahasa Arab, dan tidak boleh bagi Daulah Islam menggunakan bahasa lain sebagai bahasa rasmi. Imam Shafie menyatakan di dalam kitab usul fiqhnya yang terkenal, Al-Risalah bahawa, “Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mewajibkan kepada semua bangsa untuk belajar bahasa Arab kerana mereka perlu membaca Al-Quran dalam bahasa ini dan menyembah Allah (solat) dengan membaca (bahasa/lafaz asal) Al-Quran”.

Bagaimanapun, mesti difahami dengan jelas bahawa, meskipun bahasa Arab merupakan bahasa rasmi Daulah, ini tidak bermakna bahawa Daulah tidak boleh sama sekali menggunakan bahasa selain Arab untuk berkomunikasi secara rasmi. Jika komunikasi di dalam bahasa lain dipandang perlu (dalam keadaan) bagi memastikan tidak berlakunya salah faham atau untuk memperoleh maklumat-maklumat penting atau untuk tujuan dakwah ke luar negara, maka ia diperbolehkan. Ini telah dilakukan oleh Rasulullah di mana baginda pernah menggunakan bahasa Ibrani dan Syria dalam beberapa suratnya. Oleh itu, dalil ini pada hakikatnya adalah kewajipan meletakkan/menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi Daulah, dan ia tidak menghalang Daulah dari menggunakan bahasa selain dari bahasa Arab (dalam beberapa urusan rasminya), dalam keadaan tertentu.

Kedudukan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi Daulah juga tidak bermakna bahawa umat Islam tidak dibenarkan mempelajari bahasa asing (selain Arab) kerana hal ini sememangnya dibenarkan oleh Rasulullah sendiri dan beberapa sahabat pernah diperintahkan secara langsung oleh Rasulullah agar mempelajari bahasa asing. Ia juga tidak bermakna bahawa kitab-kitab berbahasa Arab tidak boleh diterjemahkan ke dalam bahasa asing, atau tidak boleh mengarang kitab di dalam bahasa selain Arab, kerana semua hal ini pun sememangnya dibolehkan di dalam Islam. Begitu juga dengan bahasa perbualan/percakapan harian, di mana umat Islam tetap dibenarkan berkomunikasi mengikut apa-apa bahasa yang mereka sukai. Apa yang tidak dibenarkan adalah mengabaikan bahasa Arab itu sendiri di dalam kehidupan atau tidak menjadikannya sebagai bahasa rasmi Negara. Juga tidak dibolehkan jika kurikulum pendidikan mengabaikan bahasa Arab atau tidak menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa akademik di dalam setiap pembelajaran.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Bahasa Arab adalah bahasa Islam. Bahasa Arab adalah bahasa Al-Quran dan bahasa Arab adalah bahasa as-Sunnah (bahasa Rasulullah). Bahasa ini telah menguasai dunia dan membina tamadun agung umat Islam sejak berabad lamanya. Pada zaman Khalifah Salim ke-3 contohnya, Amerika terpaksa membayar cukai tahunan kepada wali Khalifah di Algeria sebanyak 642,000 dolar emas dengan penambahan 12,000 lira emas Uthmani sebagai ganti pembebasan tawanan-tawanan Amerika yang ditahan di Algeria dan sebagai keizinan kepada kapal-kapal Amerika untuk belayar dengan aman di Lautan Atlantik dan Laut Mediterranean tanpa menghadapi tentera laut Uthmani di wilayah Algeria. Dan buat pertama kalinya Amerika terpaksa mengadakan perjanjian dalam bahasa selain bahasanya (perjanjian adalah di dalam bahasa Daulah) pada 21 Safar 1210 Hijrah – bersamaan 5 September 1795 Masehi. Ternyata, bahasa Arab telah sekian lama didaulatkan oleh para Khalifah di sepanjang pemerintahan mereka dan Insya Allah bahasa ini akan kembali berdaulat apabila dunia diperintah oleh Khilafah untuk kedua kalinya. Inilah satu-satunya bahasa yang wajib didaulatkan oleh umat Islam, tidak kira dari bangsa Arab, Melayu, Cina, India, Turki, Iran, Pakistan, Afrika, Eropah dan sebagainya. Ia adalah bahasa umat Islam dan bahasa Daulah Islam. Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: